Followers

Thursday, 22 September 2011

Merdeka Raya Regatta 2011 ( I )

Alhamdulillah, berkesempatan sekali lagi untuk kita menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 54.  Walaupun sambutan tahun ini jatuh dalam kesibukan kita meraikan Syawal. Sambutan Merdeka tidak pernah dilupakan, malahan kali ini ia disambut selepas sebulan menempuhi cubaan Ramadhan. Sungguh signifikan ia menggambarkan kemenangan kita setelah sebulan berpuasa. Namun ianya bukanlah pula peluang untuk kita meraikan Kemerdekaan hawa nafsu setelah 30 hari kita didik dengan pelbagai amalan wajib dan sunat Ramadhan.

Begitupun, di seluruh negara Sambutan Kemerdekaan 31 Ogos telah ditangguhkan kepada 16 September lepas. Satu lagi tarikh keramat terbentuknya sebuah negara Merdeka yang dikenali sebagai Malaysia. Hari Malaysia disambut bagi meraikan gabungan Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak menjadi sebuah negara. Malaysia terbentuk melalui gabungan ini. Bagi sesetengah rakyat yang belum jelas, suka diingatkan, bukanlah Sarawak masuk Malaysia atau Sabah masuk Malaysia. Malaysia wujud setelah hanya Tanah Melayu bergabung dengan Sabah, Sarawak dan Singapura yang telah keluar Persekutuan beberapa tahun berikutnya.

Di Sarawak, sambutan telah diraikan dengan penuh gilang gemilang. Kemeriahan sambutan di Tebingan Kuching pada malam 16 September ditambah dengan pelbagai acara yang telah dijadualkan pada sebelah siang dan malam hari berikutnya. Antara acara yang tersenarai adalah Sarawak Regatta, IWWF Wakeboard World Cup, Trade Expo, Ratu Kebaya Regatta dan gerai jualan. Acara yang dijadualkan nyata berjaya menarik peserta peringkat antarabangsa dan menghimpunkan puluhan ribu pengunjung ke Tebingan Kuching. 

Kesalnya :-(  sambutan meriah dan warna warni ini tidak berjaya menarik minat media utama nasional untuk dikongsikan kepada seluruh rakyat Malaysia. Lebih sedih, berita tangkapan ular sawa tepi bangunan / longkang menjadi pilihan untuk dipaparkan daripada kemeriahan sambutan Hari Malaysia di Sarawak. Menunggu hampir sejam depan TV untuk menyaksikan sambutan gilang gemilang dalam berita, sebaliknya acara Rumah Terbuka lebih mencuri perhatian pihak editor.

No comments:

Post a Comment