Followers

Sunday, 12 June 2011

Hadith 40 : 02

Dari Umar RA, katanya :
Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah SAW, tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang bersangatan putih kainnya, bersangatan hitam rambutnya, tidaklah kelihatan atasnya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorangpun daripada kami yang mengenalinya sehingga ia duduk berdekatan kepada Nabi SAW dan meletakkan kedua telapak tangannya ke atas kedua paha Nabi. 
Kemudian ia berkata: Hai Muhammad! Khabarkanlah kepadaku darihal Islam. Maka Rasulullah SAW menjawab: Islam itu ialah bahawa engkau mengakui tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammmad itu Pesuruh Allah, dan engkau mendirikan solat, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa Ramadhan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya.
Ia berkata: Benarlah engkau!
Maka kami pun tercenggang kerana ia bertanya dan ia pula yang membenarkannya. 
Katanya lagi: Maka khabarkan kepadaku darihal Iman. Rasulullah menjawab: Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan MalaikatNya dan segala KitabNya dan para RasulNya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada taqdir baikNya dan jahatNya. 
Ia berkata: Benarlah engkau!
Kemudian ia bertanya lagi: Maka sekarang khabarkanlah kepadaku darihal Ihsan. Rasululah menjawab: Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olahnya engkau melihatNya, tetapi jika engkau tidak melihatNya maka sesungguhnya Ia melihat engkau.
Akhirnya ia berkata (meneruskan pertanyaan lagi): Maka khabarkan kepadaku darihal Qiamat. Rasulullah menjawab: Tidaklah yang datang daripadaNya lebih tahu daripada orang yang bertanya. Kalau begitu, katanya: Khabarkan kepadaku tanda-tandanya sahaja. Rasulullah menjawab: Tanda-tandanya itu ialah apabila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang-orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing (berbangga-bangga) menegakkan dan meninggikan binaan. Kemudian ia pun pergi, lalu aku terdiam beberapa lama. Setelah itu, Rasulullah bertanya: Hai Umar! Adakah engkau tahu siapa orang yang bertanya itu? Kataku: Allah dan RasulNya yang lebih tahu. Rasulullah berkata: Sesungguhnya itulah dia Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu. 
Diriwayatkan Muslim.

No comments:

Post a Comment